
Buku susunan Al-Mustaqeem Mahmood Radhi dan Khairul Anam Che Mentri ini (terbitan Middle-Eastern Graduates Centre) menampilkan koleksi artikel beberapa intelektual agama seperti Nurcholish Madjid, Hans Kung dan Asghar Ali Engineer, antara lain mengupas kekeliruan yang mewarnai minda umat Islam berhubung isu pluralisme agama. Apa yang boleh saya katakan, tidak ada suatu pun sepanjang pembacaan saya, fakta yang menyeleweng dari 'ajaran Islam' sebagaimana yang didakwa oleh pihak KKDN.
Hujah pihak KKDN bahawa kandungan buku ini 'boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam' nyata lahir dari lubuk kebodohan yang meletakkan martabat akal di celah pelipat lutut! Jika benar inti buku terbabit bersifat mengelirukan maka kenapa tidak dilawan dengan hujah atas semangat intelektual yang sebenar? Kenapa harus menggunakan otoriti sebagai penguasa untuk 'membunuh' kebebasan berfikir pihak lain?
Tahun lalu, sekitar bulan Mei, KKDN dilaporkan telah merampas beberapa buah buku mengenai tragedi 13 Mei tulisan Dr. Kua Kia Soong pun begitu tindakan untuk mengharamkannya tidak terlaksana berikutan bantahan meluas beberapa pihak.
Saya secara peribadi mengecam tindakan terkini pihak KKDN berhubung dengan isu ini. Jelas, sekatan terhadap kebebasan berfikir semakin dicabuli oleh tangan-tangan penguasa yang seakan resah dengan ragam pemikiran yang pelbagai. Barangkali mereka lupa atau sememangnya tidak tahu bahawa wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. lebih 1400 tahun yang lalu dimulai dengan arahan membaca--- Iqra'!
Bagi saya, hujah KKDN bahawa buku-buku yang diharamkan ini 'boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam' sememangnya tidak berasas dan bersifat dangkal. Kelihatannya seolah-olah pihak pemerintah menganggap bahawa rakyat Malaysia khususnya umat Islam bersifat bodoh dan bebal serta tidak mampu menggunakan kefahaman sendiri dalam mendepani sesuatu polemik.
Sewajarnya KKDN menyatakan bahawa pengharaman ini adalah disebabkan buku-buku tersebut 'boleh membangkitkan kesedaran dan keyakinan di kalangan umat Islam dalam menilai sesuatu kebenaran'. Atau mungkin pemerintah bimbang rakyat semakin ghairah membaca dan seterusnya mendalami Al-Qur'an dengan tekun dan komited. Dan barangkali selepas itu akan ada arahan supaya diharamkan saja penerbitan Al-Qur'an memandangkan inti kitab suci itu menyeru pembacanya agar bangkit menentang kezaliman dan menyuruh agar ditegakkan keadilan.
Haramkan saja Al-Qur'an jika kalian khuatir rakyat menjadi bijak dengan membacanya. Atau barangkali kalian boleh meminda ayat pertama Surah Al-'Alaq dengan menghapuskan arahan Allah yang menyeru hambaNya: 'Iqra!
Nah! Al-Qur'an versi Islam Hadhari. Mungkin ianya lebih sesuai digunakan dalam konteks Malaysia, di mana proses pembodohan rakyat menjadi salah satu agenda utama sang pemerintah; dulu, kini dan selamanya!