Hampir 10 tahun yang lalu teriak "reformasi" bergema dari jalan-jalan dan dataran padang di sekitar Kuala Lumpur. Indonesia, mencapai klimaks dari teriakan ini dengan rebahnya Soeharto pada bulan Mei 1998. Malangnya, teriak "reformasi" di Malaysia putus syahwat sejurus Anwar Ibrahim ditatang ke Bukit Aman pada malam 20 September tahun yang sama. Malam malang itu turut menyaksikan Anwar rebah di lokap. Separuh mati, berlumuran darah diganyang ketua polis bacul.
Saya masih mentah kala itu. Masih anak-anak. Begitu pun, pekik para reformis yang turun ke jalan-jalan setiap hujung minggu tetap bisa saya ikuti melalui pita-pita dan cakera video. Waktu itu, perhatian rakyat mulai menumpu pada internet. Laman-laman seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Marhaen menjadi jendela maklumat alternatif buat mereka. Media kawalan Umno/BN diboikot. Harakah, Tamadun, Detik, Wasilah dan Eksklusif menghiasi meja kecil di ruang tamu rumah. Saya mulai ghairah membaca. Sisi gelap rejim Mahathir semakin tersingkap.
Kini Anwar sudah mengecap kebebasan. Kebebasan yang punyai keterbatasan tidak masuk akal. Rejim Mahathir diganti dengan rejim Abdullah Badawi. Empat tahun lalu, Abdullah dirai dengan ria oleh majoriti rakyat yang mengharapkan agar sisi gelap rejim tinggalan Mahathir itu dapat dicerahkan kembali. Nyata hingga kini, harapan tinggal harapan. Mimpi kekal mimpi. Jika Mahathir mengasaskan tradisi gelap sepanjang pemerintahannya, maka Abdullah bukan sekadar mewarisi bahkan mengekalkan tradisi tersebut dengan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Tiga tahun lalu, saya mulai menggauli pemikiran dan kesedaran para pemikir reformasi yang masih tersisa di Malaysia. Tahun lalu, pergulatan intelek saya semakin serius dengan penglibatan secara langsung melalui diskusi warung, forum dan wacana falsafah bersama-sama dengan kelompok sedar ini. Saya juga turut sama bergelut mendepani sistem bobrok demokrasi negara. Berdampingan dengan kelompok kritis ini ternyata benar-benar mengubah tanggapan saya tentang pelbagai sisi dalam konteks reformasi secara lebih meluas.
Fathi Aris (melalui bicara kami semalam) menyinggung, "Reformasi bukan sekadar perubahan politik. Bukan sekadar merubah rejim." Teriak "reformasi" ini seharusnya terisi dengan kesedaran menyeluruh pada setiap sisi; seni budaya, sastera, lapangan intelektual, aturan sosial dan agama. Khalid Jaafar, yang dicoret oleh Ayu Utami melalui catatannya berjudul 'Khalid' pula mengeluh tentang ketiadaan masyarakat intelektual reformasi di negara ini.
Keresahan saya sedikit terubat tatkala mengenang kembali kembara intelektual yang sedang saya harungi kini. Optimisme teman-teman cukup mempesona. Perubahan tidak akan berlaku sepantas yang diharapkan. Tugas membangkit kesedaran dan mendepani rakyat harus terus subur meskipun memakan masa yang tak terjangka.
Reformasi ini bukan kerana satu sosok bergelar Anwar Ibrahim. Juga bukan kerana pincangnya Abdullah Badawi dalam mengemudi bahtera negara. Reformasi ini untuk masa depan bersama, yakni demi membunuh kebodohan rakyat yang semakin hilang kewarasan.